Pages

Tuesday, October 12, 2010

POLITIK?!!


Itulah Politik Tiada Malu
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
Macam-macam boleh jadi dalam politik. Itulah kata-kata yang sering kita dengar apabila berlaku sesuatu yang pelik dalam perkembangan politik, sama ada politik di dalam Malaysia, mahupun di peringkat antarabangsa.
ITULAH POLITIK
Kelmarin diberitakan Iran melancarkan satelit mereka yang pertama, tujuannya adalah semata-mata untuk perkembangan komunikasi. Namun berita-berita di UK sudah bersangka buruk dengannya, dengan memberikan gambaran Iran akan menggunakannya untuk tujuan ketenteraan. Isu tenaga nuklear sudah lama dibincangkan. Peliknya, mengapa Israel dibenarkan menggunakan dan menyimpan senjata nuklear, demikian Amerika, dan lain-lain Negara besar dibenarkan tanpa banyak soal boleh menyekat kebebasan sebuah Negara lain seperti Iran dan Korea.  Mudah jawapannya, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', orang kata ‘tidak adil' dan lain-lain.
Apabila terang-terang, Yahudi Zionis melakukan jenayah kemanusiaan apabila membunuh begitu ramai orang awam di Palestin. Mereka tidak dikutuk teruk, Presiden Obama dan sekutunya seolah-olah BUTA, dan terus mengemukan hujjah-hujjah yang kelihatan ‘amat kurang aqal'  dan melucukan. Orang akan kata, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan lain-lain.
Apabila beberapa pemimpin dan ahli sebuah parti Islam yang menentang habis-habisan sebuah parti kebangsaan yang disebutnya kafir dan munafik. Tiba-tiba melompat ke parti yang dikatakan munafiq. Juga dengan ‘hujah tahap tadika'. Orang kata ..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan ‘jilat ludah sendiri' dan lain-lain.
Apabila seorang bekas ketua gerakan orang muda sebuah parti yang mendokong ‘perubahan' dan anti rasuah, dahulunya HEBAT ya AMAT HEBAT membantai beserta sumpah dan kotak-kotak bukti rasuah orang daripada parti yang ditentangnya. Tiba-tiba tidak semena-mena membawakan hujjah ‘tadikal lalu melompat kepada parti lawannya. Orang kata..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil', ‘jilat ludah sendiri', ‘tiada maruah' dan lain-lain. Pedulilah apa orang nak kata.
Seorang wakil rakyat melompat parti dari A kepada parti B, dalam tempoh beberapa hari, apabila dirasakan keadaan tidak selamat bagi dirinya, melompat semula kepada parti A. Dikemukan beberapa hujjah ‘t tadika' juga. Lalu dirasakan dirinya telah berjaya menjustifikasikan tindakan ‘beraqal tadikanya'.  Orang kata, ITULAH POLITIK!
Beberapa orang lagi, tidak melompat ke parti lain, tetapi melompat juga, melompat ke parti tiada cap. Diri sedang diteliti akibat kes-kes rasuah, termasuk rasuah seks. Tetapi seolah gentleman yang bijak pandai, menjustifikasikan tindakannya dengan hujah ‘tadika'. Tidak segankah mereka?  Orang kata, ITULAH POLITIK! Tiada yang malu dalam politik? Semua boleh buat asalkan boleh manfaat untuk diri, peduli orang lain.?
BODOH SANGAT RAKYAT DI MATA AHLI POLITIK?
Tidak sedarkah individu-individu seperti yang disebut di atas, betapa hina mereka di sisi mata orang ramai?. Atau terlalu bodohkah orang ramai di mata mereka.? sehingga boleh didatangkan dengan hujjah-hujjah versi ‘tiada aqal', lalu tersenyum lebar menyangka semua orang masih menghormatinya luar dalam.
Sedangkan manusia yang reti, faham dan ‘ada aqal', memandangkan dengan pandangan busuk. Orang busuk sedang berjalan, orang busuk sedang bercakap, sedang menghadiri mesyuarat.
Kita kerap mengganggap POLITIK sebagai tiket atas segala kepelikan hasil perlakuan orang politik.
Seeloknya, jangan lagi diletakkan beban dan sebab kepada POLITIK apabila ingin melakukan sesuatu yang TIDAK BERMORAL, TIADA MARUAH dalam industri politik.  Beritahu sahaja sedemikian. 
"Saya rasuah sana sini, tipu sana tipu sini, buat ini, buat itu, lompat sana, lompat sini sebenarnya KERANA SAYA INI TIADA MARUAH, TIADA MALU DAN TAMAKKAN DUNIA "
Amati sekali lagi bagaimana politik Khalifah Umar al-Khattab r.a dalam tulisan saya sebelum ini. Betul, banyak dilakukan atas dasar politik, tetapi politik yang didasari malu terhadap Allah swt dan sedar rakyatnya punyai hak besar untuk meneliti dirinya.
Adakah ahli politik tidak perasan bahawa seribu satu macam jenayah mereka sebenarnya adalah 'open secret'  di kalangan rakyat.? Cuma gagal di buktikan di mahkamah dunia sahaja, kerana itu masih bebas.
Lihat sahaja rumah ahli politik sebelum dan selepas, padahal gaji dan elaun sebagai ahli parlimen Malaysia hanya sekitar RM 10,000 dan ADUN sekitar RM 8,000.
Lihat pula rumah dan harta pegawai atasan kerajaan termasuk Polis. Cubalah jenguk dan tinjau rumah mereka dan lihat  gaya hidupnya. Jika ada Umar al-Khattab, pastinya tercabut semuanya.
KERAJAAN NEGERI PERAK
Semasa saya menulis artikel ini, belum ada keputusan dari pihak Sultan sama ada untuk memperkenankan pembubaran DUN atau tidak. Namun, adalah sangat bijak jika diperkenankan pembubaran bagi menyapu bersih muka-muka yang tiada ‘malu' DENGAN PERLAKUAN SALAH MEREKA atau yang juga sedang merendahkan minda dan hak rakyat di negeri mereka.
Sangat elok kiranya, rakyat diberi peluang semula untuk memilih pemimpin mereka agar individu tiada parti diganti dengan yang ada parti. Yang melompat-lompat diganti dengan yang tidak melompat. Amat diharap DUN boleh dibubarkan. Ia saya kira keputusan yang terbaik di mata pemerhati awam khususnya saya.
Bagi saya, kes di Perak sebenarnya membuktikan betapa ‘TIDAK TAHU MALUNYA' sebahagian orang-orang politik di Malaysia. Seolah tidak lagi mereka mengendahkan perasaan, kebencian dan minda rakyat.  
Tiada lagi malu untuk berbuat apa sahaja atas nama politik. Yang penting boleh dijustifikasikan walaupun dengan hujjah tidak beraqal.
INILAH POLITIK TIDAK TAHU MALU namanya dan politik hina dan membawa kepada kehinaan dan tiada maruah. Nabi s.a.w pernah menyebut kita PERLU MALU, kerana malu adalah agama, dengan terang lagi jelas baginda menyebut :-
إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى إذا لم تستح فاصنع ما شئت
Erti : Sesungguhnya, perkara yang telah diketahui ramai dari perkataan nabi-nabi awal dahulu adalah : Apabila kamu tidak lagi mempunyai perasaan malu, kamu buatlah ( akan berbuat) apa sahaja ( Riwayat Al- Bukhari)  
Dan satu lagi :
الحياء خير كله
Ertinya : Perasaan malu itu semuanya (membawa) kebaikan (riwayat Muslim)
dan sebuah lagi hadis menjelaskan :-

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( استحيوا من الله حق الحياء ) ، قلنا : يا رسول الله إنا نستحيي والحمد لله ، قال : ( ليس ذاك ، ولكن الاستحياء من الله حق الحياء أن تحفظ الرأس وما وعى ، والبطن وما حوى ، ولتذكر الموت والبلى ، ومن أراد الآخرة ترك زينة الدنيا ، فمن فعل ذلك فقد استحيا من الله حق الحياء )
Ertinya : Ibn Mas'ud menceritakan : Rasul bersabda : berasa malulah dengan Allah SWT DENGAN sebenar-benar erti malu, sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah pun berasa malu itu Alhamdulillah,
Baginda menjawab : Bukan demikian, tetapi malu kepada Allah swt yang sebenar-benarnya adalah dengan menjaga kepalamu dan setiap apa yang di dalam pemikiranmu, menjaga perutmu dan setiap apa yang diingininya, dan perbanyakkan ingatan kepada mati dan kehancuran, barangsiapa yang inginkan Akhirat, bakal meninggalkan perhiasan dunia (tidak ditipu dengan kepentingan dunia), seseiapa yang berbuat demikian seperti disebut di atas, mereka telah malu kepada Allah swt dan melaksanakan hak ‘malu' ( Riwayat At-Tirmidzi )
AKHIRNYA
Akhirnya, buat diri saya dan semua warga Malaysia di mana jua kita berada, berperanan dalam apa jua jawatan dan kapasiti. Malulah dengan Allah swt, diri sendiri, orang ramai. malu dalam kejahatan, bukan malu untuk melakukan kebaikan.
Janganlah bermain dengan POLITIK TAK TAHUN MALU!! Janganlah menjadikan tindakan TIDAK TAHU MALU sebagai strategi politik. Kerana ia memalukan kami untuk mempunyai pemimpin yang TIDAK TAHU MALU.
Sekian
dari petikan Ustaz Zaharudin
by: NurMoon

Pilihlah Pemimpin yang bukan anda saja rasa betul, tapi keseluruhannya mengikut Islam!


Setiap individu Islam yang beraqal waras dan sihat wajib memikir dengan bersungguh untuk mengenali pimpinan mereka dan juga setiap bakal pemimpin. Wajib juga mereka membuat segala usaha termampu untuk mengetahui sikap, kecenderungan, track record dan kekuatan para pemimpin yang INGIN dipilih khususnya di dalam sebuah negara yang mengamalkan perlantikan melalui proses pilihanraya, atau juga melalui proses perlantikan khusus.
Ada yang mengajukan pertanyaan kepada saya sama ada di dalam Islam seorang pemimpin boleh mengambil hak milik individu seseorang sama ada hak kebebasannya, hak hartanya atau lainnya. Benarkah jawapannya adalah HARUS ? dan adakah asas di dalam Islam yang membenarkannya?.
SEJARAH PANDUAN
Khalifah Umar al-Khattab pernah menunaikan umrah ada bulan Rejab tahun 17 Hijrah. Masjid al-haram di zaman Nabi s.a.w dan pemerintahan Abu Bakar As-Siddiq tidak mempunyai sebarang pagar yang mengelilingi masjid, yang ada hanya ruang halaman untuk tawaf. Namun apabila bilangan umat Islam bertambah, halaman yang dahulunya selesa sudah menjadi sempit sehingga boleh memudaratkan para tetamu Allah.
Keadaan ini menyebabkan Umar r.a berfikir untuk memperluaskan halaman tawaf. Untuk tujuan tersebut Umar r.a membeli beberapa buah rumah di sekitar masjid, seterusnya diruntuhkan dan ditukar menjadi ruang halaman tawaf. Namun demikian, beberapa pemilik rumah di sekitar Masjid Al-Haram  enggan menjualkan rumah mereka kepada kerajaan, walaupun telah ditawarkan dengan harga yang munasabah lagi adil.
Akhirnya, Khalifah umar mengambil keputusan merampas dan meruntuhkan rumah-rumah tersebut dan meletakkan bayaran pampasan yang adil dan mencukupi di Baitul Mal bagi diambil kemudiannya oleh pemilik-pemilik rumah. Ia diletakkan di Baitul Mal kerana pemilik rumah berdegil enggan berurusan. Akhirnya, mereka pergi juga mengambil wang pampasan mereka.
Peristiwa yang hampir sama juga berlaku ketika khalifah Umar r.a inigin memperbesarkan masjid Nabawi. [1]Khalifah Uthman r.a turut melakukan hal yang sama ketika masjidil haram memerlukan lagi pembesaran dan turut berhadapan dengan beberapa pemilik rumah yang enggan, lalu dirampas dan diberikan pampasan yang adil dan sesuai.
Memang benar, semua tindakan ini jelas harus di dalam Islam, ia merupakan sebuah kuasa khusus diiktiraf oleh hukum Islam, khusus diberikan kepada sang pemimpin yang amanah mendahulukan keutamaan awam. Namun demikian, tentunya ia bersyarat, antara syaratnya seperti :-
1)      Mestilah dilakukan permohonan kepada pemilik terlebih dahulu.
2)      Rayuan dan rundingan bersama  pemilik.
3)      Memberikan harga pampasan yang adil lagi saksama.
4)      Rampasan benar-benar dilakukan HANYA untuk tujuan dan maslahat umum, tiada kaitan dengan pula dengan keuntungan peribadi sang pemimpin. Tidak juga memberikan sebarang keuntungan kewangan peribadi kepada pemimpin.
Tatkala syarat ini dipenuhi, rampasan dan pencerobohan hak individu dianggap harus dan tergolong di dalam kaedah Fiqh yang menegaskan :-
يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام
Ertinya :"Kemudaratan yang bersifat khusus (kepada individu) terpaksa ditanggung demi menolak kemudaratan umum"
SEBAB ITULAH ....
Memang benar, keredhaan menjadi antara syarat utama dalam sebuah proses jual beli biasa, namun demikian sebuah paksaan boleh dijatuh dan ditentukan oleh SANG PEMIMPIN demi menjaga kebaikan umum, Peruntukan kuasa yang diijktiraf oleh islam ini menjadikan pemilihan dan perlantikan seseorang pemimpin menjadi amat penting buat setiap individu masyaratkat.
Ini kerana di dalam sistem pilihanraya berparlimen, rakyat patut faham, tiada siapa yang boleh melepaskan diri dari tanggungjawab memilih yang terbaik kerana kelak, pimpinan yang naik itu punyai peruntukan untuk merampas hak milik individunya HANYA DENGAN alasan kepnetingan dan kemaslahatan awam yang DITENTU DAN DINILAIKAN SENDIRI oleh pemimpin tersebut. Jika korup dan buruk iman pimpinan itu, buruklah pula penilaian ‘kepentingan awamnya'.
MALANGLAH...
Justeru itu, amat malanglah jika seorang pemimpin buruk budi pekerti terpilih lalu kelak nanti mereka akan menggunakan kuasa yang diiktiraf Islam ini, BUKAN LAGI atas penilaian yang adil dan saksama serta kepentingan umum yang disyaratkan Islam, tetapi diubah dan dihalalkan bagi menjayakan nafsu dan kepentingan peribadinya. Kepentingan peribadinya dianggap kepentingan umum. Tatkala itu, siapa yang ingin dipersalah?
Atas kefahaman ini, TIDAK BOLEH seorang pengundi yang waras AQALNYA, lagi mampu tubuhnya melarikan diri dari tanggungjawab mengundi, mengasingkan diri dari pemilihan dan tidak memberikan pandangan dalam perlantikan pengundian dan lainnya.
Jika masih malas dan berdegil tunggulah nanti hak peribadi di rampas atas nama kepentingan umum yang palsu. Tatkala itu, menyesal sudah tidak lagi beerti. Fikirkanlah sebaik dan sewarasnya.

Sekian


NurMoon

Wakil MP Sibu Ziarah Hospital Sibu


Hari ini, 10 Oktober 2010 Wakil MP Sibu, YB Wong Ho Leng telah menziarahi hospital Sibu..keperihatinan YB terlihat apabila sanggup turun padang menziarahi rakyat di hospital Sibu..YB di wakili Ketua Pemuda DAP Sibu, Sdra Steven Liu yang meluangkan sedikit masa menziarahi pesakit-pesakit..
Tahniah YB !

Saturday, October 9, 2010

Sisa Balak kena Sibu...

SISA balak dan kayu terapung memenuhi laluan di Sungai Rajang terutama di Sibu dan Kapit sejauh 50km sejak semalam (08 Oktober 2010) mengakibatkannya tidak boleh dilalui oleh semua bot. Kejadian dipercayai berlaku akibat tanah runtuh besar-besaran di Putai dan Nungun - kawasan konsesi pembalakan di Balleh di pedalaman Bahagian Kapit berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Thursday, October 7, 2010

JEMPUTAN KE MAJLIS AIDILFITRI DAN SILATURRAHIM – 9 OKTOBER 2010 !

Assalamu 'alaikum w.b.t.
Kepada Semua penduduk Sibu, Penyokong PAS dan Peminat Blog Passibu, sdra/i dan tuan/puan dijemput ke MAJLIS AIDILFITRI & SILATURRAHIM bersama AJK-AJK PAS Sibu..

Tarikh : 09 Oktober 2010 (Sabtu malam Ahad)
Masa : Mulai 8.00 malam
Tempat : Markas PAS Kampung Hilir, Sibu.

Untuk pertanyaan, sila hubungi : Sdra Syamsudin 012-8817098 atau Sdra Yusof 017-8050938

Anjuran : PAS Sibu dengan Kerjasama Pakatan Rakyat Sibu.

Followers