Pages

Tuesday, February 15, 2011

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL

Oleh:  YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Sambutan Maulidur Rasul SAW yang diadakan saban tahun, mestilah diutamakan
dengan memulakan azam baru bagi mengikuti tauladan Nabi Muhammad SAW yang
diutuskan oleh Allah SWT, untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.
Jasa besar Nabi Muhammad saw adalah, membawa Islam yang menerangi manusia, yang
memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama
manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan
mempunyai hak yang dihormati.


Kejayaan besar penjajah barat ialah memesongkan umat Islam daripada politik
Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Hasilnya lahirlah umat Islam yang
menerima sahaja siapa sekalipun menjadi pemerintah mereka, walaupun zalim kepada
rakyat, kerana bagi mereka urusan politik tidak ada kaitan dengan agama.
Sedangkan pada diri Rasulullah itu adanya teladan politik Islam yang terbukti
memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan
Islam selepas itu, yang membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak
selama-lamanya menjadi pemimpin.

Rasulullah SAW telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama
manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum
minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi
ini. Teladan Nabi Muhammad SAW inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak
perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi
keadilan kepada rakyat.

Kita melihat bagaimana kehidupan masyarakat Arab jahiliah sebelum kedatangan
Rasulullah SAW yang penuh dengan perhambaan dan kezaliman, tetapi semuanya
berubah selepas kedatangan Islam. Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat
Islam khususnya, supaya memulakan tekad baru, menolak jahiliah moden yang
menjadikan rakyat sebagai hamba, yang harta negara berlegar sesama mereka, yang
rasuah dan zalim, kepada perjuangan yang lebih syumul iaitu Islam sebagaimana
dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

12 Rabiul Awal 1432 H / 15 Februari 2011

No comments:

Followers