Pages

Sunday, February 13, 2011

TAHNIAH RAKYAT MESIR !!

Oleh:  YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir yang berjaya menyingkirkan rejim Hosni Mubarak yang telah menzalimi rakyatnya sejak sekalian lama. Keberanian dan sikap konsisten rakyat yang dahagakan perubahan ini wajar dicontohi oleh masyarakat dunia yang juga berhadapan dengan kerajaan yang zalim dan menindas rakyat. Benarlah firman Allah SWT dalam Al Quran bahawa nasib sesuatu kaum itu akan diubah oleh Allah sekiranya kaum itu sendiri ingin mengubahnya.


Cabaran terbesar selepas ini ialah tentunya mengemudi kerajaan peralihan yang dipimpin sementara oleh pihak tentera supaya perubahan yang digerakkan oleh rakyat ini akhirnya akan kembali kepada kuasa rakyat dalam menentukan hala tuju dan bentuk pemerintahannya, dengan menjadikan peluang keemasan ini untuk menegakkan keadilan menyeluruh, demokrasi telus dan tulen, dan akhirnya menjadi contoh kepada kerajaan lain di rantau Asia Barat yang masih dibelenggu demokrasi tempang. Pihak Majlis Ketenteraan pula diminta supaya tidak menggunakan ruang ini untuk berdolak dalih dan berhelah dalam membina negara Mesir baru nanti.

Kuasa besar dunia juga perlulah menghormati kuasa rakyat dengan tidak cuba mencaturkan suasana pemerintahan baru di Mesir itu. Sebarang campur tangan kuasa luar akan hanya memburukkan keadaan dan menyebabkan suasana kacau-bilau berterusan dialami oleh rakyat Mesir.

Peristiwa bersejarah ini tentunya menjadi iktibar kepada masyarakat dunia, termasuklah kerajaan Malaysia pimpinan Umno BN. Inilah natijahnya apabila undang-undang negara dipergunakan untuk menahan tanpa bicara, darurat diisytiharkan sewenangnya dan kuasa rakyat tidak dihormati sejak sekian lama.

Tempoh itu juga meyaksikan bahawa media dikuasai oeh kerajaan memerintah dan dipergunakan tanpa segn silu dengan matlamat untuk mengekalkan kuasa kerajaan memerintah. Parti politik yang wujud pula dipaksa berdepan dengan sistem pilihanraya yang berat sebelah, dan seterusnya menafikan kuasa rakyat. Sistem pendidikan pula menjadi bahan eksperimen, budaya hidup hedonisme dan penuh dengan rumpunan hiburan yang melekakan telah melupakan rakyat kepada realiti kehidupan sebenar, rasuah bermaharajalela dan rakyat dipaksakan untuk menerima satu bentuk kehidupan yang tujuannya entah ke mana.

Akhirnya rakyat Mesir bangkit melakukan perubahan pada hari yang bersejarah ini. Inilah seharusnya menjadi iktibar kita, terutamanya kepada kerajaan Umno BN yang juga memaparkan sikap dan perangai yang sama dengan apa yang ditunjukkan oleh rejim yang telah ditewaskan itu. PAS dengan ini mengajak seluruh rakyat yang dahagakan perubahan agar dapat bersama kami dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk terus merencanakan tugas bagi melakukan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini.

No comments:

Followers