Pages

Saturday, December 4, 2010


Fitnah: Nampak sangat kerajaan takut
Petikan dari Harakah Daily  
KUALA LUMPUR, 3 Dis: PAS mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang penyelewengan kerajaan BN akan terbongkar sehingga beliau mengingatkan pemimpin pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara supaya tidak terjebak dengan fitnah yang ditabur oleh media yang menyokong pembangkang.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, Muhyiddin bercakap seolah-olah kerajaan pada hari ini tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap media pembangkang jika ada unsur fitnah.
Tambahnya, banyak akta yang ada di Malaysia, seperti Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA), Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak, Akta Universiti Kolej, Akta Keselamatan Dalam Negeri yang boleh bertindak.
Menurutnya, nampak sangat kerajaan BN pada hari ini takut dengan bayang-bayang.
“Muhyiddin hendak menutup bangkai gajah dengan tudung saji, sedangkan penyelewengan Umno tidak dapat dibendung lagi, kerana seluruh dunia sudah mengetahui.
“Siapa tidak tahu Malaysia negara rasuah. Siapa tidak tahu Malaysia mempunyai khazanah negara yang banyak tetapi dibolot oleh pemimpin sehingga rakyat derita,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Rakyat, katanya akan dapat tahu lebih banyak setelah kerajaan BN tumbang nanti, sebagai mana yang telah diselongkarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat pada hari ini.
Tambahnya, Timbalan Presiden Umno itu buat-buat lupa, pada hal media Umno yang melemparkan fitnah kepada pemimpin Pakatan Rakyat seperti memfitnah Datuk Seri Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak, memutarkan berita bacaan doa kepada Lim Guan Eng dalam khutbah, wang untuk warga emas yang beragama Islam difitnah daripada wang judi.
Baginya, Muhyiddin hanya membuang masa bercakap kepada orang yang cerdik di kalangan pelajar.
“Mereka ini dengar, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Pelajar bukan orang yang bodoh, mereka golongan terpelajar. Segala tuduhan, pelajar tidak telan bulat-bulat, dan mereka tidak rela untuk diperbodohkan oleh pemimpin Umno,” katanya.
Mereka, katanya pergi mendengar kerana dipaksa rela, bukan suka rela manakala Muhyiddin boleh berleter apa sahaja yang beliau mahu.
“Apabila pelajar balik membuka internet untuk menyaring apa yang didengar tadi. Inilah untungnya zaman multimedia, dunia tanpa sempadan,” ujarnya.
Tetapi, ujarnya lagi pada zaman langit terbuka ini menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin Umno, kerana dalam sekelip mata segala fitnah yang mereka lemparkan kepada pembangkang akan mendapat jawapan sebenarnya.
NurMoon

No comments:

Followers