Pages

Thursday, December 2, 2010

MENUJU KE ARAH MATLAMAT YANG SAMA !! TAKBIR !!


Hijrah: Menegarakan Islam, Mengislamkan Negara
Nik Nasri Malek   
Muqaddimah

‘Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul..’
Ketika Khalifah Saidina Umar al-Khattab mengira-ngira untuk membuat satu tanda jelas bagi orang
 Islam tentang kalendar, banyak peristiwa penting yang boleh dijadikan batutanda itu. Peristiwa 
kelahiran Nabi SAW, Isra’ Mikraj, Hijrah, pelbagai peperangan yang berlaku sepanjang sejarah 
semuanya penting. Namun dari semua peristiwa penting itu, akhirnya Umar al-Khattab memilih 
peristiwa hijrah. Mengapa hijrah? Tentunya ada perkara istimewa dan kelainan berbanding dengan 
peristiwa-peristiwa lain.
Sebelum hijrah, Nabi SAW adalah Nabi. Demikian juga selepas hijrah. Tetapi selepas hijrah, Nabi 
bukan sahaja kekal sebagai Nabi, pangkat yang diberi oleh Allah tetapi juga menjadi ketua sebuah
 negara. Walaupun Madinah kecil sahaja di waktu itu-kecil dari segi geografi, kecil dari segi bilangan 
penduduk dan kecil dari segi kuasa berbanding kuasa-kuasa besar yang sudah sedia ada ketika
 itu-Parsi dan Rom, namun Madinah menepati ciri-ciri sebuah negara menurut sains politiknya. Ada 
tanah dan bumi, ada pemimpin, ada rakyat, ada perlembagaan dan ciri-ciri lain.
Hijrah menjadi batas sempadan di antara tempoh Mekah dan tempoh Madinah. Ayat-ayat al-Quran
 berbeza dari segi uslub dan perintah-perintahnya.  Justru, peristiwa hijrah ini sangat penting untuk 
dihayati oleh umat Islam agar maksud sebenar dari hijrah ini tercapai.
Latar belakang Hijrah
Nabi menyeru kepada Islam
Semenjak berada di Mekah. wahyu sudah mulai turun. Muhammad telah diangkat dan dilantik menjadi 
Nabi dan Rasul. Bermula dari seorang diri, Baginda mula menyebarkan Islam di kalangan keluarganya 
yang hampir, sahabat yang rapat dengannya agar mudah diterima. Ia berkembang sedikit demi sedikit.
 Begitu juga dari segi uslub dakwah, dari sembunyi hinggalah terang-terangan.
2.Para Sahabat ditindas, dizalimi hanya kerana menyatakan ‘Kami beriman kepada Allah’
Dengan sebab dakwah yang mula diterima dari kalangan penduduk Mekah, respon yang diberi oleh
 pembesar Quraisy adalah sangat keras. Para Sahabat ditindas, disiksa, ditekan dan diperlakukan 
pelbagai kezaliman. Contoh-contohnya cukup banyak. Cukup bagi kita melihat seperti Bilal bin Rabah
 yang disiksa begitu rupa dengan sebab hanya beriman kepada Allah, begitu juga Ammar bin Yasir
 dan lain-lain.
Diizin berhijrah ke Habsyah
Kezaliman dan penindasan yang dahsyat menyebabkan para Sahabat dibenarkan berhijrah ke Habsyah
 buat sementara waktu, sehingga tempoh untuk kembali ke Mekah selepas suasana yang sedikit 
mengizinkan. Bumi Habsyah hanya transit sementara, untuk perlindungan, bukan bumi sebenar 
menegakkan Islam dalam bentuk negara. Suasana dakwah di Mekah berlangsung sedemikian rupa
 selama 13 tahun. Yang didengar oleh telinga para Sahabat hanyalah ‘sabar, sabar’ hingga Allah 
menentukan masa dan ketika yang sesuai untuk ditegakkan Islam itu dalam bentuk pemerintahan 
negara.
Pemimpin Quraisy bersidang dan ambil keputusan di Darul Nadwah
Sampai waktunya Nabi memberi khabar gembira kepada para Sahabat:. Nabi bersabda, maksudnya:
 ‘Aku diberitahu tempat hijrah kamu iaitu Yathrib. Sesiapa yang mahu keluar, maka keluarlah ke sana.’
 Para Sahabat mula mengatur langkah menuju Yathrib. Ia berlaku selepas Baiah Aqabah 1 dan 2 di 
antara Nabi SAW dan penduduk Yathrib yang datang mengerjakan haji. Nabi SAW menawarkan Islam 
kepada mereka sehingga kemudiannya berlaku Baiah Aqabah 1dan 2 itu dalam musim-musim haji. 
Melihat kepada perkembangan Islam yang sudah berlaku outreach di Yathrib, iaitu pengaruh yang 
sudah berkembang hingga ke luar Mekah, maka para pemimpin Quraisy bermesyuarat di Darul Nadwah 
mahu mengambil keputusan apa yang sepatutnya dibuat terhadap Nabi SAW. Dari cadangan-cadangan
 yang diberi, akhirnya keputusan yang dicapai ialah Nabi Muhammad SAW, Al-Amin itu mesti dibunuh.
 Inilah kemuncak kepada sebuah perjuangan hingga melibatkan risiko nyawa melayang.
Dengan demikian, Nabi SAW berhijrah bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra sehingga akhirnya 
tiba ke Yathrib di awal bulan Rabi al-Awwal Tahun pertama Hijrah.
Dalam hijrah ini pelbagai pengajaran yang kita boleh petik. Saya rumuskan melalui 5P seperti berikut:
Iktibar (5P)
Penuh strategi
 Nabi SAW membuat persediaan mencari tapak sesuai sebelum berhijrah. Yathrib bukan sahaja tapaknya
 sesuai bahkan penduduknya juga sudah bersedia menerima dan mempertahankan Baginda SAW. 
sebagai tapak tegaknya Islam. Untuk itu Baiah Aqabah 1dan Baiah Aqabah 2 menjadi tahap penting
 dalam dakwah Nabi. Bagi merealisasikan Baiah Aqabah supaya berjaya dan tidak bocor, penduduk
 Yathrib mengerjakan haji seperti orang lain di musim haji, tetapi bangun di tengah malam di Mina 
ketika semua yang lain masih tidur untuk berbaiah dengan Baginda SAW.
Selepas Nabi mendapat tahu tentang perancangan Quraisy mahu membunuhnya, Baginda SAW pergi
 ke rumah Abu Bakar di waktu tengahari dan selepas menerima perintah Allah untuk berhijrah. Waktu
 tengahari dipilih kerana ketika itu masing-masing sedang berihat di rumah agar perancangan Baginda
 tidak disedari.
Begitu juga perancangan yang dibuat oleh Saidina Abu Bakar selepas Nabi menyampaikan berita untuk
 berhijrah itu. Dikaderkan anak-anaknya untuk Islam. Asma menyediakan makanan, Abdullah ditugaskan mendengar khabar di pasar lalu membawa khabar berita itu kepada Nabi di Gua Thur nanti, Amir bin
 Fuhairah ditugaskan membawa kambing ke Gua Thur untuk didapatkan susunya dan dihilangkan
 kesan tapak kaki.
Sebagai usaha melambat-lambatkan dan mengelirukan pemuda Quraisy, Nabi SAW meminta Saidina Ali menggantikan Baginda di tempat tidur.
Nabi sendiri tinggal di Gua Thur selama 3 hari bersama Abu Bakar bagi memastikan misi ke Yathrib 
selamat. Nabi juga melalui jalan yang tidak biasa dilalui ke Yathrib agar perjalanan tidak dikesan musuh.
Semua ini menggambarkan kepada kita betapa strategi dalam menegakkan Islam itu mesti diberikan
 keutamaan. Bahkan secara umum, ia memberi panduan kepada semua bentuk pengurusan agar
 perancangan berstrategi itu diambil perhatian. Buatlah Plan A atau Plan B, usaha dan ikhtiar dari
 manusia, namun tawakkal dan pergantungan mesti tekad kepada Allah.
Pengorbanan
Apa yang diberi oleh para Sahabat selama di Mekah hingga bersedia berhijrah ke Yathrib ialah kerana
 mereka mengutamakan Islam, kehendak Allah yang mendahului kehendak diri dan peribadi. 
Pengorbanan para Sahabat sepanjang tempoh dakwah di Mekah bukan calang-calang. Dalam
 persitiwa hijrah, para sahabat bersedia meninggalkan rumahtangga, kampung halaman, harta benda
 kerana semata-mata menyelamatkan Islam. Kalau Islam selamat, yang lain selamat. Kalau yang lain
 selamat, belum tentu Islam selamat.
Pengorbanan dari Abu Bakar sepanjang peristiwa hijrah juga menjadi contoh hebat. Memasuki Gua 
Thur terlebih dahulu bagi memastikan keadaan selamat buat Nabi SAW, sanggup kakinya ditahan
 kesakitan akibat bisa binatang kerana tidak mahu mengganggu Nabi yang baring diribanya. Begitu
 juga Ali bin Abi Talib yang mengambil risiko besar menggantikan Nabi SAW di tempat tidur. Nyawa
 menjadi pertaruhan untuk sebuah perjuangan.
Persaudaraan
Bagi menegakkan pemerintahan Islam, faktor-faktor yang membantu ke arah perkara itu mesti 
dilakukan. Tidak mungkin Islam boleh ditegakkan jika mereka yang menegakkan Islam itu bersengketa.
 Tindakan Nabi SAW mempersaudarakan Aus dan Khazraj menjadi golongan Ansar adalah tindakan bijak seorang pemimpin. Aus dan Khazraj yang berperang sesama sendiri begitu lama akhirnya menjadi 
seperti saudara karib. Bukan mudah menyatukan mereka yang sudah berperang begitu lama. Tali
 persaudaraan bukannya atas dasar Arab tetapi islam. Nasionalisme sempit tiada dalam kamus Islam.
 Bentuk persaudaran diluaskan hingga Muhajirin dan Ansar juga dipersaudarakan. Bentuk persaudaraan
 ini diakui Islam sehingga di peringkat awalnya masing-masing boleh mewarisi dari saudara seislamnya
 yang lain hingga dibatalkan hukum itu.
Positif dan pro-aktif
Sikap umat Islam mesti positif dan pro-aktif. Ia ditunjuk oleh Nabi SAW dalam persitiwa hijrah ini. Apabila mengetahui orang Musyrikin mahu membunuhnya, terus Baginda bertindak menemui Abu Bakar 
dan menyiapkan perkara yang sepatutnya.
Nabi SAW sentiasa memandang masa depan Islam yang cemerlang. Dalam apa suasana sekalipun, 
Baginda tetap optimis dan positif terhadap Islam. Inilah sifat seorang pemimpin yang mesti diikuti oleh pengikutnya. Dalam persitiwa hijrah, ketika hanya Nabi dan Abu Bakar berada di dalam Gua Thur
-tiada PBB, tiada OIC, tiada negara dan bala tentera islam yang boleh membantu, Nabi SAW bersabda
 kepada Abu Bakar ‘Apa sangkaan kamu dengan 2 orang, Allah yang ketiga’, suatu tarbiyyah, keyakinan
 dan keimanan yang jitu diletakkan dalam dada Abu Bakar. Ketika Suraqah yang mengejar Nabi dari 
belakang mulai takut dengan kaki kudanya yang sentiasa tenggelam dalam pasir itu meminta keamanan
 dari Nabi SAW, Baginda berjanji kepada Suraqah untuk diberikan gelang Raja Kisra. Satu janji yang
 melihat masadepan yang gemilang buat Islam walaupun negara Islam itu belum kelihatan di depan mata.
Perpindahan
Hijrah wajib di awal Islam. Namun ia berubah selepas itu: ‘Tiada hijrah selepas pembukaan Mekah tetapi
 jihad dan niat (yang benar)’ , ‘Jihad berterusan hingga ke hari Qiamat’
Perpindahan yang mesti berlaku di kalangan orang Islam ialah berhijrah dari perkara yang dilarang
 Allah ‘Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang Allah’. Bagi seorang
 mukmin, falsafah hidupnya ialah hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini dan 
hari-hario muka lebih baik dari hari sebelumnya.
Berpindahnya Nabi SAW dari Mekah ke Madinah ialah bagi menegakkan Islam dalam bentuk syumul
-peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Ia bukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat sahaja.
 Hijrah membawa misi dan visi yang sangat hebat. Kalau di tahun 2009 lepas, PM pernah menyebut
 Hijrah menepati konsep 1Malaysia, maka ia adalah omong kosong yang jauh dari falsafah, konsep
 dan realitinya.
Dalam konteks semasa, kita menyambut tahun 1432H dalam keadaan loceng amaran PRU13 sudah
 dibunyikan, hanya menunggu gendang perangnya sahaja belum diketuk. Hijrah memberi semangat
 kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan konsep 5P di atas, agar berjaya dalam PRU 13
 sehingga menang setelah P iaitu parti diperkuatkan, mengekal dan menambah kerusi serta menguasai
 dua tempat P iaitu Putrajaya dan Parlimen.
Penulis adalah Ketua Lajnah Ulama Pelapis Dewan Ulama PAS Terengganu. [Petikan dari:
Harakah Daily]

No comments:

Followers